Rumah merupakan salah satu peralatan budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya.
Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina.
Reka bentuk tersebut memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri.
Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
PULAU PINANG
KEDAH
PERAK
PERLIS
PAHANG
MELAKA
JOHOR
NEGERI SEMBILAN
KELANTAN
TERENGGANU
SABAH
SARAWAK
Pembinaan rumah Melayu dipengaruhi oleh faktor-faktor di bawah;
1. Cuaca
Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksima.
2. Sumber Alam
Bahan binaan ialah kayu, rotan, akar, buluh, dan dedaun dari sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang kepada struktur bangunan, manakala rotandan akar menjadi pengikat, kayu atau batang pinang menjadi lantai, buluh dan daun rumbia atau nipah menjadi dinding dan atap.
3. Budaya dan adat resam
Budaya dan adat resam juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke kiblat. Definisi ruang juga diatur dan diubah aras mengikut kegunaan adat resam bertandang, kenduri dan aktiviti keluarga.
4. Pengaruh asing
Kehadiran penjajah Barat telah memberi alternatif baru kepada teknik seni bina Melayu. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih atap rumbia dan kayu, bata dan simen telah mengambil tempat kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung atau pengikat.
Pengaruh ini boleh dilihat secara positif dan negatif oleh umum, iaitu pertembungan dua unsur iaitu praktikal dan seni.
Kesimpulan
Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-tukang yang mahir telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami.
Tetapi sayang, tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu kerana amat sukar mendapati tukang yang mahir dewasa ini.
No comments:
Post a Comment