Translate

Monday, December 26, 2011

Oh Nice! | Ramai orang Islam, mudah cari juadah halal

  • Foto
  • Foto
    Tram melalui kawasan pusat beli-belah yang dihias sempena Krismas.
  • Foto
  • Foto
    Penulis di Eze-village, kampung tradisional antara Nice dan Monte Carlo, Monaco.
DISEBUT 'Nis', bandar yang terletak di tepi Laut Mediteranean ini layak digelar kota bangsawan berikutan sejak abad ke-18 lagi, ramai golongan kaya menghabiskan musim dingin di lokasi ini. Wartawan BERITA MINGGU, Mohd Feroz Abu Bakar berkunjung ke kota ini sambil meneroka tinggalan sejarah bandar yang pernah ditadbir Itali ini

Ramai orang Islam, mudah cari juadah halal

NICE, bandar di tenggara Perancis dan terletak di tepi Laut Mediteranean kurang popular di negara ini berbanding ibu kota cinta, Paris.Namun, bandar itu sebenarnya hanya beberapa kilometer dari Cannes yang dikenali kerana festival filem atau Monte Carlo di Monaco yang dikaitkan dengan kasino dan perlumbaan kereta F1.

Nice (disebut 'nis') sebenarnya menjadi bandar kepada golongan ternama di seluruh dunia termasuk pelakon Hollywood bercuti, terutama bagi mengelak musim sejuk di hemisfera utara.

Tidak hairanlah Nice memiliki deretan kedai yang menjual barang berjenama dan mahal seperti di Paris.

Bahkan, berdasarkan fakta sejarah, Nice suatu ketika dulu pernah berada di bawah pentadbiran Itali kerana kedudukannya yang strategik dari segi maritim. 
Pelabuhannya yang tenang dengan bekalan makanan yang banyak mengakibatkan bandar itu menjadi rebutan kepada beberapa bangsa Eropah dan ada antara mereka yang bergabung dengan kuasa Islam Arab untuk menawan Nice.

Bandar Nice sebenarnya menjadi tempat golongan kaya menghabiskan musim dingin sejak abad ke-18 lagi hingga ada tempat dinamakan 'Promenade des Anglais' atau laluan orang Inggeris.

Penulis mengunjungi bandar berkenaan hasil tajaan Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur bagi meninjau Universite de Nice Sophia Antipolis yang menjadi tempat hampir 200 pelajar negara ini melanjutkan pengajian sejak lapan tahun lalu.

Makanan halal juga mudah didapati kerana ada ramai penduduk Islam di bandar berkenaan, iaitu keturunan tentera upahan Perancis dari Afrika utara seperti Maghribi dan Algeria.

Kunjungan ke bandar ini beberapa hari sebelum sambutan Krismas menunjukkan Nice dihiasi lampu pada sebelah malam bagi menghidupkan suasana perayaan.

Tiada salji di bandar berkenaan kecuali di kawasan pergunungan yang juga menjadi tempat kepada golongan kaya bermain ski.

Bandar berkenaan kira-kira lima jam perjalanan menggunakan kereta api laju TGV dari Paris dan penerbangan terus dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

No comments:

Post a Comment