Translate

Sunday, November 20, 2011

‘Baik robohkan saja bangunan’

AMPANG: Lebih baik dirobohkan daripada dibiarkan begitu saja. Itu luahan rata-rata penduduk yang tinggal di sekitar Taman Hillview, di sini, berhubung dua blok Highland Towers yang masih tinggal selepas tragedi runtuhan Blok 1 pada Disember 1993.
Tinjauan Metroplus di lokasi pangsapuri mewah itu mendapati dua blok yang masih tinggal iaitu Blok 2 dan 3 masih kelihatan dalam keadaan baik walaupun hampir kesemua bahagian bangunan berkenaan sudah berkulat berikutan ditinggalkan kira-kira 18 tahun lalu.

Selain itu, tumbuhan menjalar turut ‘menghuni’ dua blok pangsapuri berkenaan yang semakin dimakan usia termasuk keadaan sekeliling blok itu yang sudah boleh dikatakan sebagai hutan kerana dilitupi dengan tumbuhan dan pokok.

Bagi seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Robert, 57, dua blok yang masih ada pernah dijadikan ‘port’ penagihan dadah beberapa tahun lalu namun masalah itu selesai selepas penduduk taman perumahan berkenaan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, pemantauan pihak berkuasa kerap dilakukan di kawasan terbabit kerana bimbang berlakunya gejala tidak sihat termasuk mungkin berulangnya gejala penagihan dadah di sekitar kawasan tinggalan itu.

“Mengapa perlu dibiarkan lagi dua blok itu. Pada pandangan saya, memang kawasan ini tidak akan dimajukan berikutan tragedi yang pernah berlaku termasuk beberapa faktor lain seperti struktur tanah yang mungkin tidak stabil.


“Selain itu, lebih baik jika pihak yang berkenaan memasang pagar sementara di sekeliling kawasan pangsapuri ini bagi mengelakkan daripada diceroboh oleh individu tertentu yang mungkin mempunyai niat tidak baik sekali gus menghalang aktiviti tidak sihat,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, Taman Hillview termasuk tapak Highland Towers itu memang di bawah pengawasan pihaknya namun sehingga kini status bangunan berkenaan masih tidak diketahui.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat sebarang arahan sama ada daripada kerajaan mahu pun pemaju untuk merobohkan bangunan berkenaan kerana kuasa itu masih terletak di bawah pemaju pangsapuri berkenaan.

“Selalunya, jika ada proses merobohkan bangunan, pemaju akan berjumpa dengan kita ataupun pihak polis kerana ada prosedur tertentu yang perlu dipatuhi tapi sehingga kini kami tidak mengetahui status bangunan berkenaan,” katanya ketika ketika dihubungi.

Lapangan terbang baru dibina di Karawang

JAKARTA: Kerajaan memilih Karawang, Jawa Barat sebagai lokasi lapangan terbang baru, kata pegawai daripada Kementerian Pengangkutan, semalam.
“Buat masa ini, kami masih membuat kajian. Dalam awal tahun depan, baru kita dapat mengetahui berapa banyak perbelanjaan yang diperlukan. Bagaimanapun, lokasinya sudah dipilih iaitu di Karawang,” kata Ketua Pengarah kementerian itu untuk pengangkutan udara, Herry Bhakti, semalam sebagaimana dipetik daripada tribunnews.com. Beliau berkata, kerajaan bercadang membina lapangan terbang baru ekoran aduan mengenai perkhidmatan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Cengkareng yang melebihi kapasiti.

“Lapangan Terbang Soekarno-Hatta mempunyai dua landasan untuk pesawat dan Lapangan Terbang Karawang akan mempunyai tiga landasan,” katanya.