Translate

Thursday, October 20, 2011

Siling pecah, kipas jatuh

200 bimbang gegaran kuat akibat kerja pecah tanah di Taman Equine 2B

SERDANG: Lebih 200 penduduk di Taman Equine 2B, Seri Kembangan di sini hidup dalam kebimbangan apabila hampir 30 unit rumah bandar mereka mengalami keretakan akibat kerja pembinaan pecah tanah dan batu dilakukan berhampiran perumahan terbabit.

Letupan dilakukan di tapak pembinaan hampir 15 meter daripada perumahan itu dilakukan dua kali sehari sejak dua minggu lalu, menyebabkan gegaran kuat kira-kira dua minit yang pada mulanya disangka gempa bumi.
Penduduk, Susan Tam, 61, berkata letupan di projek pembinaan dilakukan sejak 6 0ktober lalu menyebabkan berlaku kerosakan di rumah mereka termasuk keretakan dinding dan siling pecah.
"Malah, kipas juga turut terjatuh apabila siling rumah pecah ekoran gegaran kuat dirasai hampir dua kali setiap hari,” katanya di sini, semalam.
Susan yang tinggal sejak tujuh tahun lalu di situ, berkata penduduk sudah bertemu pemaju perumahan terbabit dan menceritakan masalah dialami, namun sehingga kini kerja letupan masih dijalankan seperti biasa.

“Bila kami maklumkan kepada mereka dan meminta melihat kerosakan dialami, mereka memberi alasan kerosakan itu bukannya kesan letupan dan perlu meneruskan projek berkenaan yang mengambil masa dua minggu lagi.

"Kami bimbang, setiap hari rumah yang rosak semakin meningkat. Sampai bila kami perlu bersabar dan tidak mustahil satu hari nanti, rumah kami runtuh jika letupan itu masih diteruskan,” katanya.
Rakannya, Jennifer Liw, 62, berkata mereka sudah membuat laporan polis berhubung masalah dialami bagi mengelak lebih banyak rumah rosak teruk.

Sementara itu, wakil syarikat Jati Pemborong Am Sdn Bhd yang dilantik pemaju, Lew berkata, projek pembinaan 112 unit rumah berkembar dan banglo di kawasan itu bermula sejak beberapa bulan lalu dan gegaran yang dirasai penduduk perumahan berdekatan ekoran letupan batu dan tanah yang dibuat hampir dua kali sehari.

“Kami mempunyai permit dan kerja dibuat mengikut garis panduan ditetapkan. Mungkin gegaran dirasai ekoran letupan itu, namun ia masih selamat dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk.

“Bagaimanapun, kami akan bertanggungjawab jika berlaku kerosakan rumah penduduk dan akan membuat tinjauan di semua rumah yang didakwa mengalami kerosakan teruk itu,” katanya.


sumber berita harian 21.10.2011

No comments:

Post a Comment