Pereka dalaman gabung elemen masa depan, terjemahan alam pada kediaman yang dijadikan rumah contoh
"KADANGKALA demi meyakinkan pelanggan, saya perlu menjadikan kediaman sendiri sebagai rumah contoh.
“Namun, ia bukan satu bebanan kerana secara peribadi, saya suka mencari kelainan daripada yang ditawarkan di pasaran. Saya lihat, konsep futuristik mampu menarik perhatian orang,” begitu jawapan kontraktor serta pereka dalaman MAG Builders Sdn Bhd, Muhsin Abdul Ghani, 38, ketika diaju pertanyaan mengenai konsep hiasan dalaman yang dipraktikkannya.Namun, berbanding gaya futuristik biasa, Muhsin memilih metafora alam diwakili gua, sungai dan pokok dalam persembahan ruang. Bayangan gua diterjemah melalui i dinding kemasan kaca di ruang tamu, manakala inspirasi pokok, lembah serta anak sungai diterap pada permukaan siling empat bilik tidur di tingkat atas rumah.
Menyentuh secara terperinci, Muhsin berkata, kemasan cermin motif melengkung pada dinding ruang tamu bersama corak jalur selari hitam-putih di siling lepa kumainya mewakili imej gua. Manakala rak buku berdekatan dibentuk menyerupai pokok serta ranting.
“Objek yang melengkung itu pintu gua manakala dua garisan lekuk hitam dan putih menterjemah stalaktik dan stalagmit yang biasa ditemui di gua.
“Namun, untuk menampakkan ciri futuristik, bukan warna kelabu gua digunakan sebaliknya hitam dan putih yang diakui lebih menyerlah dalam gambar dibuat latar belakang,” katanya yang lebih suka pengunjung berteka-teki mengenai tema penataannya itu.
Menambahkan keunikan, semua alang bilik tidur di tingkat atas menitipkan motif akar pokok serta alur sungai yang turut menggunakan warna klasik hitam-putih. Bagaimanapun, pilihan warna itu kata Muhsin, bukan dibuat atas dasar ia rona selamat dan mudah disuai padan dengan sebarang kelengkapan. Sebaliknya, rona itu, katanya, popular sejak era 1970-an lagi.
“Bagi yang masih ingat, era itu menyaksikan banyak inovasi hiasan dalaman manakala hitam-putih menjadi sebahagian daripada proses pembaharuan itu. Saya hanya mempopularkannya kembali tetapi dalam konteks sedikit berlebih-lebihan.
“Saya mengaku, tidak semua orang dapat memahami serta menerima gaya unik ini. Namun, seperti pereka fesyen yang sengaja menampilkan rekaan keterlaluan bagi persembahan pentas peragaan, pereka dalaman juga mempraktikkan kaedah sama dalam menata gaya ruang,” kata bapa kepada tiga cahaya mata; Faiq Muqri, 11, Farhana Mardhiah, 10, dan Fahim Muazzam, enam tahun ini.
Namun, rekaan rak buku dibentuk secara serong mampu mencuri tumpuan. Ternyata ilham luar biasanya itu, berupaya mewujudkan ruang penyimpanan kemas lagi sistematik.
Kata Muhsin, rekaan istimewanya itu bukan saja berupaya mengelak penggunaan penahan buku, bahkan mengizinkan pelbagai saiz bahan bacaan dimuatkan.
“Dengan setiap kotak penyimpanan direka berbeza saiz, pelbagai jenis bahan bacaan boleh ditempatkan dari majalah, folio hingga novel dan komik. Bagusnya, penahan buku tidak diperlukan untuk memastikan bahan bacaan itu tetap pada kedudukannya,” ujarnya.
Keunikan ilham futuristik itu berlarutan pula ke pintu sorong kayu yang digunakan bagi mengasingkan ruang tamu dengan ruang dapur, selain ruang tamu dengan tingkat atas rumah.
Selain berupaya menyembunyikan ruang terbabit dari penglihatan umum, matlamat utama pembentukan pintu itu ialah menyediakan ciri keselamatan bagi keluarganya.
“Pintu sorong yang menghubungkan aras atas dengan bawah akan dikunci menjelang malam. Sementara, atas faktor keselamatan, laluan khas yang menyambungkan keempat-empat bilik tidur disediakan dan ia hanya boleh diakses apabila pintu utama dibuka,” katanya yang juga suami kepada Ruzniah Fadhlina Abdul Sattar, 35.
Berikutan rumah itu juga menjadi tempat keluarga berkumpul, Muhsin berasa bertanggungjawab menyediakan ruang dapur luas. Bertemakan moden kontemporari melalui reka bentuk terkini kabinet akrilik dilengkapi kemasan pintu kaca kabut, pengaruh gaya kontemporari itu dikuatkan lagi dengan pilihan warna putih, krom, hitam dan sedikit suntikan warna merah pekat.
Muhsin sekali lagi memecah resmi kediaman biasa apabila tidak menyediakan ruang makan, sebaliknya menjadikan ruang dapur sebagai tempat menjamu selera.
“Bagi saya, ruang makan hanya membazirkan ruang sedangkan tempat itu hanya berfungsi sekali-sekali. Sebab itu, saya jadikan kabinet berpulau ini sebagai tempat makan dan rasanya lebih praktikal.
“Ini kerana lauk-pauk boleh segera dipanaskan di dapur yang terletak di bahagian kepala kabinet pulau. Supaya dapat duduk selesa, bangku krom tinggi disediakan,” katanya memperuntukkan ruang dapur basah kecil yang boleh menampung dua orang pengguna pada satu masa.
“Ruang dapur basah khusus melakukan tugasan memasak berat dan saya tidak nampak keperluan membesarkannya. Lagipun, selain tempat itu, saya turut menyediakan tiga lagi dapur masak di ruang dapur kering termasuk untuk tujuan barbeku.
“Bagi saya, perencanaan ruang dapur sekarang sangat praktikal kerana mampu mengeratkan hubungan keluarga selain mengurangkan keadaan semak dan kecah,” katanya yang gemar bertanya khabar dan perkembangan anggota keluarganya ketika menyediakan hidangan.
Apapun, Muhsin bersyukur kerana kediaman berkeluasan 95 x 24 kaki persegi itu cukup luas selain memenuhi syarat bagi projek pengubahsuaian pada masa depan. Namun, Muhsin menyimpan hasrat besar membina banglo.
“Ya, saya sedang menuju ke arah itu namun bukanlah dalam masa terdekat ini. Lagipun, saya masih belum puas meneroka gaya hiasan baru di rumah ini dan jika ditakdirkan mengubah penataan lagi, saya tetap mahu menonjolkan sesuatu yang tidak pernah dicuba orang,” katanya menggambarkan keberaniannya dalam melakukan eksperimen dengan hiasan dalaman.
INFO:
No comments:
Post a Comment